MTUC gesa perkenal skim kemalangan bukan bencana kerja

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dengan memperkenalkan perlindungan keselamatan sosial Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK).

Menurut Presiden MTUC, Effendy Abdul Ghani, pelaksanaan skim itu sudah lama dinantikan pekerja kerana memberi perlindungan komprehensif kepada pencarum yang mengalami kemalangan di luar waktu bekerja tanpa terikat kepada aktiviti pekerjaan mereka.

“Sejak 2011, lebih 26,000 kes tuntutan permohonan faedah di bawah akta itu ditolak Perkeso kerana kemalangan bukan bencana kerja.

“Oleh itu, MTUC menggesa kerajaan segera melaksanakan SKBBK dan meminda akta sedia ada.

“SKBBK adalah penambahbaikan kepada skim sedia ada dan dapat merapatkan jurang perlindungan keselamatan sosial pekerja di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Antara faedah yang diterima pekerja sekiranya skim itu dilaksanakan ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, kemudahan pemulihan fizikal dan vokasional.

Effendy berkata, skim itu sudah dilaksanakan di negara maju seperti New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada, lapor FMT.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *