EMPAT keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah yang didiami mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Baru, Jalan Bundusan, Penampang malam tadi.
Bagaimanapun, seorang wanita cedera ringan dalam kebakaran kira-kira 9 malam itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, enam jentera bersama sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Lintas serta Kota Kinabalu bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.33 malam.
“Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman dijalankan dan kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, api dilaporkan terkawal pada 10.32 malam, manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Seorang mangsa, Ariffin Reduaan Rudi, 21, berkata, dia tinggal di rumah dua tingkat itu bersama abang, sepupu dan bapa saudaranya.
Ketika kejadian, dia yang masih berada di tempat kerja dihubungi keluarganya.
“Semuanya musnah terbakar. Hanya tinggal baju dan seluar kerja yang sedang saya pakai,” ujarnya.
Leave a Reply