POLIS menahan seorang wanita selepas dia disyaki mendera bayi lelakinya berusia 10 bulan di sebuah kediaman di Petaling Utama, di Petaling Jaya, kelmarin.
Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas suaminya berusia 20-an yang melihat kesan kecederaan itu membawa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.
Sebelum kejadian, pasangan suami isteri berkenaan dikatakan berselisih faham dan tidak bertegur beberapa hari sebelum suaminya mendapati ada kesan lebam pada anak mereka lalu membawa bayi itu ke hospital.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.28 tengah malam.
Bertindak atas maklumat itu katanya, pada 6.30 petang kelmarin, sepasukan polis menahan wanita berusia 26 tahun tersebut di kediamannya.
“Mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan kini menerima rawatan di hospital.
“Suspek dibenarkan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Leave a Reply