Guna dokumen meragukan, 19 PATI warga Myanmar dan Bangladesh ditahan

Oleh RIZQI ZABIDI

13 lelaki dan enam wanita disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh, ditahan dalam sebuah feri penumpang di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 10.16 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda milik Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati 16 warga Myanmar hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan kini.

Selain itu katanya, tiga lagi warga Bangladesh tidak memilki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Berikutan itu , kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *