Helah jual ganja di sebalik lemang

Oleh BADLISHAH MAT

TAKTIK seorang lelaki berselindung di sebalik perniagaan lemang yang sebenarnya melakukan aktiviti pengedaran ganja terbongkar apabila dia ditahan bersama tiga individu dalam serbuan di Bedong, Sungai Petani kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, serbuan kira-kira pukul 6 petang itu hasil intipan dan risikan sepasukan pegawai Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Katanya, suspek pertama yang berusia 62 tahun itu ditahan ketika sedang berurusan dengan seorang lelaki berusia 33 tahun di belakang gerai lemangnya.

“Turut ditahan dua pekerja lelaki yang berusia 18 dan 20 tahun. Aktiviti penjualan lemang suspek adalah sah namun pada masa sama dia turut menjalankan kegiatan menjual ganja di belakang gerai terbabit.

“Pemeriksaan polis menemukan 17 ketulan ganja mampat di dalam beg berwarna biru dalam gerai terbabit yang dianggarkan seberat lebih 18 kilogram (kg) dan bernilai RM45,125,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Zaidy berkata, suspek berusia 33 tahun terbabit dipercayai pelanggan yang datang ke gerai itu untuk mengambil bekalan ganja sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Berdasarkan siasatan kita mendapati suspek pertama dan kedua adalah dalang aktiviti pengedaran dadah ini manakala dua pekerja tersebut masih dalam siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, semakan rekod mendapati tiga daripada mereka masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek pertama dan kedua direman sejak semalam hingga Rabu ini, manakala dua lagi suspek direman hingga Isnin depan,” katanya.

Kata Zaidy, polis turut menyita kereta milik suspek pertama bernilai RM39,800 serta wang tunai RM550 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *