PINJAMAN wang dengan menggunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran yang dibuka permohonannya hari ini hanya akan meningkatkan nisbah hutang isi rumah di negara ini.
Ketika ini, nisbah hutang atau pinjaman isi rumah di Malaysia adalah 84 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Memetik laporan Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, sekiranya pinjaman melalui cagaran KWSP ini dilakukan maka, bebanan hutang rakyat akan bertambah.
Menurutnya, timbul persoalan adakah peminjam mampu membayar semula pinjaman yang dibuat melalui kaedah cagaran KWSP tersebut. Apa akan berlaku sekiranya mereka gagal membayar semula pinjaman?.
Katanya, biarpun kadar faedah yang dikenakan lebih rendah iaitu empat hingga lima peratus namun, situasi sekarang bukan tentang isu faedah. Kadar empat peratus itu masih dikira tinggi bagi sebuah institusi kewangan konvensional.
“Ini bukan isu faedah tapi kedudukan kewangan KWSP yang akan terganggu sekiranya pengeluaran semakin banyak. Pelaburan KWSP akan terjejas sekali gus akan menjejaskan kadar faedah pencarum.
“Situasi sebegini yang menyebabkan saya sebenarnya tidak setuju dengan apa-apa pengeluaran KWSP,” katanya.
Menurut Firdausi, biarpun KWSP adalah simpanan wang rakyat namun, simpanan itu seharusnya digunakan untuk mereka menjalani kehidupan dengan selesa selepas bersara kelak.
Laporan KWSP bahawa 51 peratus daripada 6.7 juta ahli yang berumur 55 tahun ke bawah mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 selepas pengeluaran dilakukan sebelum ini adalah sesuatu yang membimbangkan.
KWSP juga telah memaklumkan rakyat Malaysia perlu ada sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan semasa bersara. Jadi, sekiranya 51 peratus pencarum KWSP mempunyai baki simpanan kurang RM10,000, bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan apabila bersara kelak.
Tambah beliau, situasi yang berlaku sekarang disebabkan kebenaran mengeluarkan KWSP yang dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“KWSP adalah satu institusi yang tidak boleh diganggu kerana itu simpanan rakyat untuk rakyat. Jadi, apabila dijentik sekali maka, desakan akan terus dilakukan bagi pengeluaran berikutnya.
“Seharusnya semasa berlaku krisis, kerajaan (terdahulu) menggunakan wang kerajaan untuk membantu rakyat bukannya menggunakan wang simpanan rakyat.
“Isu KWSP ini sudah menjadi isu politik yang disensasikan demi meraih simpati rakyat. Pinjaman melalui cagaran KWSP membabitkan implikasi ekonomi yang akan menjejaskan pengurusan kewangan rakyat,” katanya.
Leave a Reply