SEORANG pengguna TikTok mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di akaun media sosial miliknya selepas klip video mendakwa dia ingin menjual buah pinggangnya, tular baru-baru ini.
Menurut lelaki yang menggunakan nama daddy_keacy untuk akaun TikToknya itu, dia membuat hantaran tersebut disebabkan masalah hutang yang dihadapinya.
Namun memetik laporan Malayiakini, lelaki itu mengaku tidak berhajat untuk menjual buah pinggangnya seperti yang dimuat naik di media sosial berkenaan.
“Jadi saya buat ‘jalan pintas’kepada sesiapa yang nak beli buah pinggang.
“Dan saya tidak sangka pula video tersebut Fyp,” katanya di dalam video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di TikTok semalam.
Fyp ialah singkatan untuk For You Page yang merujuk kepada halaman di aplikasi TikTok yang dipenuhi dengan kandungan video dianggap sesuai dan akan menghiburkan pengguna.
Pengguna Tiktok akan mengguna tanda pagar #fyp untuk menjadikan video yang dihasilkan mereka mendapat perhatian dan meningkatkan capaian penonton.
Semakan Malaysiakini mendapati pengguna TikTok yang memperkenalkan dirinya sebagai tukang masak dan pengatur cara majlis itu memberi penerangan kepada 2,337 pengikutnya tentang alasan dia mahu menjual organ.
Doktor pakar kesal
Dia yang mula memuat naik beberapa video sejak 25 Mac lalu mengakui menggunakan rakaman yang diambil ketika dia menghadiri temu duga kerja di Singapura untuk meraih perhatian dan menambah pendapatan sampingannya di TikTok.
Pun begitu dia mengakui tiada hasil yang diperoleh daripada video tersebut.
Tidak dapat dipastikan jika kenyataan daddy_keacy itu ada kaitan dengan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa ada rakyat Malaysia terpaksa menjual buah pinggang mereka atas faktor kesempitan hidup.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu menggunakan hujah tersebut untuk mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi.
Dalam hantarannya semalam daddy_keacy turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan Malaysia dan Singapura kerana membuat kenyataan palsu.
“Saya harap kerajaan Singapura dapat menerima permohonan maaf saya.
“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Malaysia yang mana orang menyalahkan saya mengenai desakan hidup hingga perlu menjual organ mereka.
“Benda tu (masalah kewangan) memang merdesak tapi tidak sampai saya mahu menjual buah pinggang,” katanya.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii sebelum ini menuntut Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan bukti berhubung “dakwaan serius” yang dibuatnya itu.
Selain itu seorang doktor yang juga pakar dalam pendermaan organ Dr Abdul Jabbar Ismail turut menyatakan rasa kesal dengan dakwan Wan Ahmad Fayhsal kerana ia menjejaskan usaha menggalakkan orang ramai menderma organ.
Leave a Reply