TIDAK serik mengedar dadah walaupun beberapa kali ditahan polis sejak 2014 dengan kali terakhir ditahan pada 2019 di Batu Gajah, Perak.
Kali ini, lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga penagih dadah tegar dan mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah ditahan sekali lagi tempat letak kenderaan sebuah apartment di Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang, Isnin lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketika ditahan dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, suspek berada di atas motosikal serta dipercayai sedang dalam persiapan menjual dadah kepada pelanggan.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan sebanyak 100 keping aluminium foil mengandungi 1,000 biji dadah jenis Eramin 5 seberat 280 gram bernilai RM8,000.
Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Jelutong pukul 4 petang hari yang sama dan merampas pelbagai jenis dadah yang disimpan di situ yang keseluruhannya bernilai RM227,914.
Antara dadah yang dirampas, jelasnya, termasuk 87 paket syabu seberat 4.50 kilogram bernilai RM148,566; sembulan paket heroin seberat 982 gram bernilai RM4,075 dan 85 keping aluminium foil mengandungi 850 biji dadah Erimin 5 seberat 238 gram bernilai RM6,800.
“Selain itu, polis turut merampas lapan paket ganja dan 37 batang rokok berisi ganja seberat 43.3 gram bernilai RM1,948; 1,400 biji pil ekstasi bernilai RM30,800; 800 biji pil WY seberat 80 gram bernilai RM8,800; 29 paket plastik serbuk MDMA bernilai RM5,800 dan 100 paket ketamin bernilai RM13,125,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Tambah beliau, hasil risikan mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan terutama kepada penagih tegar dan pengunjung di kelab-kelab malam.
Jelasnya, hasil saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah dan direman selama enam hari bermula 4 April hingga 9 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selain itu, kita turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal dan kereta jenis Hyundai berjumlah RM37,500 dan wang tunai bernilai RM2,010 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta berjumlah RM267,424,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 246 permit menjual bunga api di negeri itu sehingga hari ini iaitu masing-masing 61 di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); 45 di Timur Laut; 28 di Barat Daya; 12 di Seberang Perai Selatan (SPS) dan 100 di Seberang Perai Utara (SPU).
Leave a Reply