POLIS menahan sepasang kekasih yang tular di media sosial kerana melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, penahanan dibuat membabitkan seorang lelaki berumur 22 tahun dan seorang wanita berumur 17 tahun di dua lokasi berbeza petang tadi.
Menurutnya, rakaman kejadian itu berlaku pada pukul 3.03 petang, 29 Mac lalu, tetapi hanya tular di media sosial tiktok baru-baru ini.
“Polis mengesan video tular berkenaan sebelum mendapati lokasi kejadian adalah di kawasan letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.
“Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek telah ditahan secara berasingan, masing-masing di Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai antara pukul 4.15 petang hingga 5.15 petang, hari ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Sohaimi berkata, semakan dibuat mendapati kedua-dua warganegara tempatan itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna merah dan sehelai t-shirt berwarna merah dan putih.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara selama tempoh dua tahun,” katanya.
Mohd Sohaimi turut mengingatkan orang awam agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan insan negara ini.
Terdahulu, tular satu rakaman berdurasi 23 saat yang merakamkan perbuatan jelik kedua-dua individu berkenaan di dalam sebuah kenderaan.
Leave a Reply