Pas kecam serangan pasukan keselamatan rejim ke atas Al-Aqsa

PAS mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan pasukan keselamatan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa semalam ketika umat Islam sedang beribadah.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, provokasi ganas dan perbuatan jenayah itu hanya akan mengundang ketegangan yang berlanjutan serta memburukkan keadaan di rantau tersebut.

Beliu berkata, semua pihak yang mencintai keamanan serta hak orang Islam untuk beribadah digesa agar sama-sama bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengutuk keras perbuatan jenayah rejim Israel.

“Ini kerana pencerobohan tempat ibadah, terutama pada bulan puasa bukan sahaja berlawanan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, malah bercanggah dengan nilai mulia kemanusiaan.

“Oleh itu, ia hendaklah dihentikan dengan serta-merta dan dalam hal ini juga campur tangan serta ketegasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amatlah diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri semalam berkongsi video pihak berkuasa Zionis dikatakan menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah di dalam ruang solat Masjid al-Qibli.

Berdasarkan video yang dimuat naik di Telegram Nadir Al Nuri itu, kelihatan keadaan di dalam ruang solat masjid dipenuhi dengan kepulan asap serta bunyi tembakan selain beberapa barangan dirosakkan.

Para jemaah yang terdiri daripada rakyat Palestin juga dilihat dipukul dengan kejam tanpa sebarang sebab oleh rejim penjajah Israel.

Tambah Takiyuddin, tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan itu dilaporkan telah mencederakan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin.

“Sementara itu, lebih 350 yang lain ditahan oleh pihak polis rejim, membabitkan umat Islam yang berada dan beribadat di masjid berkenaan sempena Ramadan.

“Pihak keselamatan rejim Israel pada hakikatnya hanya mengulangi kejadian pada April tahun lepas dan pada tahun 2021, yang telah mencetuskan perang 10 hari dengan rakyat Palestin berikutan pencerobohan ganasnya terhadap masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

Pas, Israel, Serangan Masjid Al Aqsa,


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *