KERAJAAN Negeri Pulau Pinang memberi bonus Aidilfitri kepada kakitangan awam negeri itu sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 sempena sambutan hari raya Aidilfitri akan datang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang akan dibuat pada 17 April itu turut dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.
”BKK yang dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10.95 juta kepada kerajaan negeri tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebagai tambahan, BKK berjumlah RM300 masing-masing juga disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA); guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR); guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR); kakitangan SRAR; SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK); guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (Tadis).
”BKK berjumlah RM300 ini juga akan disalurkan kepada guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, selain sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini, BKK itu juga untuk menghargai sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kakitangan awam negeri dalam memastikan pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.
Leave a Reply