AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan yang dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Indonesia selepas didapati menceroboh perairan negara.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung pada kedudukan 50 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.13 pagi semalam.
Ujarnya, pemeriksaan awal mendapati bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara, Indonesia itu dikendalikan empat kru termasuk tekong berumur antara 17 hingga 33 tahun.
”Ketika diperiksa kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Sehubungan itu, tambahnya, bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Dalam masa sama, tegas beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
Leave a Reply