Zuraida ingin kembali ke Bersatu tapi ditolak

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti itu pada Mei tahun lalu memohon untuk menyertai semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun permohonan Zuraida ditolak katanya, kerana beliau tidak melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar parti berkenaan.

“(Permohonan Zuraida) Dihantar awal tahun tak silap saya,” katanya kepada FMT, dan menambah keputusan menolak permohonan Zuraida itu sebulat suara.

Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Mei 2022, kerana dikatakan tertarik dengan perjuangan parti baharu itu.

Meskipun Bersatu menuntut calon baharu daripada parti itu dilantik ke jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri, mengekalkan Zuraida.

“Sebabkan dulu kuota menteri beliau itu kuota Bersatu. Sebab itu kita tolak (permohonannya),” kata Fayhsal.

PRU15 menyaksikan Zuraida gagal mempertahankan Parlimen Ampang yang dimenanginya atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tiga penggal lalu.

PBM menang satu daripada lima kerusi Parlimen yang ditandingi.

Sebelum ini, Zuraida diuar-uarkan sebagai presiden menanti PBM namun tidak lama kemudian, pada Disember, parti itu mengumumkan pemecatannya.

Pada bulan sama, Zuraida menyertai NGO Muafakat Nasional yang ditubuhkan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *