SEORANG wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di Dungun, pukul 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian muka.
“Pasangan tersebut baru mendirikan rumah tangga setahun lalu dan difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mereka yang menyebabkan suspek berusia lingkungan 30-an tiba-tiba bertindak di luar kawalan.
“Difahamkan, suspek kemudian memberitahu ahli keluarganya yang tinggal berhampiran kediamannya tentang perbuatannya itu sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Katanya, susulan itu pihak polis menahan suami mangsa yang disyaki melakukan perbuatan tersebut.
Baharudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply