KEGIATAN sindiket pengurup wang didalangi warga asing yang beroperasi secara haram dengan berselindung di sebalik perniagaan restoran dan kedai runcit di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kejayaan itu hasil serbuan 10 buah premis di beberapa lokasi di ibu negara dan sekitar Selangor melalui operasi khas dilancarkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) pada Ahad dan Isnin lalu.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, sindiket menggunakan modus operandi beroperasi di restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kios menjual peralatan elektronik bagi menutup jejak aktiviti mengurup wang tanpa lesen.
“Pasukan operasi menyerbu 10 premis disyaki ada aktiviti pengurup wang tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga asing terdiri warga Bangladesh, India dan Indonesia.
“Seramai 29 warga asing ditahan, berusia 29 hingga 40 tahun. Mereka membabitkan 11 lelaki Bangladesh, lima lelaki India, selain masing-masing lapan lelaki dan dua wanita Indonesia, dipercayai berperanan sebagai orang tengah dan menguruskan kiriman wang ke luar negara.
“Sementara itu, masing-masing seorang lelaki warga India, Indonesia dan Bangladesh, semua berusia 30 hingga 45 tahun dipercayai dalang utama sindiket juga berjaya ditahan di tiga lokasi berlainan dan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, proses penghantaran wang ke luar negara secara haram dikenali sebagai ‘Hawala’, iaitu tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.
“Siasatan mendapati mereka juga mengenakan bayaran yang murah bagi menguruskan kiriman wang keluar negara,” katanya.
Katanya, pasukan operasi turut merampas wang tunai berjumlah RM300,527 disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.
“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, sindiket ini dianggarkan mampu menguruskan kiriman wang ke luar negara mencecah RM108 juta setahun,” katanya.
Ruslin berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply