Padah gigit bayi enggan tidur, pembantu rumah dipenjara

TINDAKAN seorang pembantu rumah warga Indonesia menggigit seorang daripada pasangan kembar diasuhnya kerana enggan tidur membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan, oleh sebuah Mahkamah Singapura, semalam.

Lapor Channel News Asia, mahkamah menjatuhi hukuman penjara itu ke atas Masita Khoridaturochmah, 33, yang didakwa atas pertuduhan mendera mangsa secara sengaja sehingga mengakibatkan kesakitan fizikal yang tidak perlu.

Bagaimanapun butiran mangsa dan lokasi, disunting daripada kertas pertuduhan berikutan mahkamah mengeluarkan perintah ‘gag’ bagi melindungi identiti mangsa.

Mahkamah diberitahu bahawa Masita mula bekerja dengan ibu mangsa sejak 2021, dengan antara tugas utamanya ialah menjaga pasangan bayi kembar perempuan itu dan melakukan kerja rumah.

Pada 26 Mei 2022, majikan Masita dilaporkan keluar rumah kira-kira pukul 5 petang untuk mengambil anak perempuan sulungnya pulang dari prasekolah.

Masita kemudian ditinggalkan di rumah bersama pasangan bayi kembar terbabit yang ketika itu berusia 14 bulan.

Wanita itu cuba menidurkan kedua-dua bayi berkenaan tetapi berang apabila seorang daripadanya tetap enggan tidur walaupun sudah dipujuk kira-kira setengah jam sehingga melambatkan dia memasak makan malam.

Kira-kira pukul 6.30 petang, Masita menggigit bayi itu sekali di lengan kiri bayi itu sehingga meninggalkan kesan lebam.

Sementara itu, hakim membenarkan permohonan Masita untuk hukuman penjara itu ditangguhkan selama seminggu bagi membolehkannya menyelesaikan beberapa urusan, termasuk menghubungi keluarganya di Indonesia untuk mengaturkan kepulangannya selepas selesai menjalani hukuman penjara nanti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *