Misi untuk KWSP sudah tercapai, saya tak hirau kecaman orang

PEMANDU teksi, Norazlan Ismail yang berjalan kaki membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Tol Skudai di Johor Bahru menuju Istana Negara, tidak menghiraukan kecaman sebahagian netizen terhadapnya.

Norazlan, 49, berkata, yang penting misinya untuk membuka mata pemimpin berkaitan kepentingan pengeluaran caruman itu sudah dilaksanakan.

“Saya juga tidak hirau sekiranya ada suara atau tangan nakal yang mendakwa saya tidak berjalan kaki sepenuhnya dalam misi itu.

“Biar apa mereka hendak katakan, masing-masing ada mulut dan tangan. Apa yang saya hendak buktikan pada kepimpinan negara, saya sudah lakukan, Alhamdulillah.

“Saya berpendapat, saya sudah berjaya membuka mata kepimpinan negara dan juga membuktikan bahawa saya amat memerlukan pengeluaran caruman KSWP ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Pada malam 28 Mac lalu, Norazlan nekad berjalan kaki sejauh 312 kilometer (km) demi membuka mata pemimpin berkaitan keperitan hidup yang terpaksa ditempuh rakyat sepertinya yang kesempitan wang.

Bapa kepada lima cahaya mata itu tiba di Istana Negara kelmarin, selepas menempuh perjalanan selama lima hari.

Namun, keadaan fizikal Norazlan yang tiba di Istana Negara dengan memakai pakaian formal suit lengkap dipertikaikan netizen yang mendakwa misi itu tidak dijalankan dengan sempurna.

Bagaimanapun Norazlan ada menjelaskan, dia menolak pelawaan banyak pihak yang mahu menumpangkannya sepanjang perjalanan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *