Lima syarikat didakwa perdaya ribuan pelabur, kerugian cecah RM1 bilion

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) digesa menyiasat lima syarikat yang disyaki menipu sejumlah besar pelabur yang kebanyakannya warga emas dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, kumpulan scammer jenayah pelaburan tersebut dipercayai menggunakan ‘modal’ meyakinkan iaitu ‘dokumen information memorandum’ yang diperoleh daripada SC.

Katanya, kumpulan itu turut mempergunakan nama orang kenamaan atau VIP sebagai pelaris untuk menarik keyakinan pelabur terhadap operasi syarikat terbabit dengan menggambarkan individu berpengaruh tersebut sebagai pengarah syarikat.

“Dengan dua modus operandi ini, kumpulan scammer ini berjaya memperdaya ribuan pelabur di seluruh negara dan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion.

“Lima buah syarikat ini dipercayai telah memulakan operasi sejak 2016, namun ada antara syarikat tersebut telah tutup ketika pandemik Covid-19 dan 2021.

“Apabila mangsa atau pelabur tidak lagi dapat menghubungi pihak syarikat, laporan polis telah dibuat di seluruh negara,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan laporan dan aduan mangsa kepada pihak SC di Bukit Kiara, dekat sini.

Hadir sama Presiden Malaysian Community Crime Care (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

MHO mengadakan kerjasama dengan MCCC bagi membantu mangsa-mangsa pelaburan membawa isu tersebut ke peringkat siasatan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, serahan aduan dan pertemuan dengan pihak SC digunakan sebaiknya untuk meminta suruhanjaya itu melakukan siasatan terperinci ke atas syarikat-syarikat pelaburan yang dipercayai menipu orang ramai.

Pada masa sama katanya, MHO juga menyeru SC agar meneliti penggunaan dokumen information memorandum yang telah dihantar serah kepada suruhanjaya itu bagi diguna pakai oleh syarikat-syarikat pelaburan beroperasi di negara ini.

Ini kerana katanya, syarikat-syarikat terlibat berjaya menunjukkan dokumen information memorandum kepada kumpulan pelabur atau mangsa.

“Kita MHO tidak menyalahkan SC berhubung dokumen information memorandum ini.

“Namun kita menyatakan kepada SC bahawa di lapangan, ada syarikat-syarikat yang menyalah guna perkataan information memorandum, seakan-akan syarikat terbabit telah disemak oleh suruhanjaya tersebut.

“Tetapi yang sebenarnya information memorandum itu tidak disemak, sebaliknya hanyalah satu dokumen hantar serah atau notis,” katanya.

Jelas beliau, tanpa sebarang kajian lanjut dilakukan oleh pelabur berhubung perkara tersebut, kebanyakannya mempercayai ia telah diluluskan oleh SC.

Oleh yang demikian menurut beliau, MHO telah memaklumkan perkara tersebut kepada SC untuk meneliti balik perkara melibatkan dokumen information memorandum.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, penggunaan nama VIP yang mempunyai reputasi tinggi dilihat telah berjaya memperdayakan kebanyakan mangsa.

Beliau berkata, bukan sahaja peguam, malah individu bergelar Tan Sri turut diperdaya ‘hidup-hidup’.

Tegas beliau, ia bukan satu jenayah scam biasa tetapi corporate scam kerana terdapat sejumlah pelaburan tertinggi yang dibuat adalah sehingga RM3 juta.

“Oleh sebab itu, MHO meminta SC melakukan siasatan terperinci terhadap kes ini, setelah memanjangkan aduan atau laporan yang telah dibuat kepada pihak polis sebelum ini.

“Kita juga akan meneruskan dengan siri aduan kepada agensi terlibat yang lain seperti Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Sekiranya tidak ada tindakan sewajarnya, MHO tidak teragak-agak untuk membawa kes ini kepada badan lebih tinggi seperti ke Pejabat Perdana Menteri,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *