SEORANG pesara guru wanita berputih mata apabila kerugian lebih RM500,000 gara-gara terpedaya dengan panggilan ‘scam’ yang kononnya dari syarikat insurans.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 59 tahun itu pada mulanya dikatakan mempunyai tuntutan insurans di sebuah hospital swasta sebelum panggilannya disambung kepada ‘pegawai polis’ untuk siasatan sumber kewangan yang ada dalam akaun wanita itu.
“Wanita itu diminta untuk membuat pindahan keseluruhan wang ke dalam satu akaun miliknya bagi tujuan siasatan sumber kewangan milik mangsa. Akibat cemas dan ketakutan, mangsa memberikan semua maklumat kad ATM bank milik mangsa kepada individu terbabit bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.
Mohd Yusri berkata, mangsa kemudian menyedari wangnya sebanyak RM585,904.22 lesap semasa ingin mengeluarkan wang dari akaun banknya, mangsa menyedari ditipu syarikat insurans berkenaan dan membuat laporan polis.
Justeru, orang ramai diingatkan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa ‘scam’ termasuk tidak melayan panggilan telefon atau mesej individu atau nombor telefon yang tidak dikenali .
“Guna aplikasi whoscall, truecaller dan sebagainya untuk mengetahui identiti pemanggil, jangan mudah panik dan cemas apabila menerima panggilan daripada scammer.
“Agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut seraya memberi pilihan untuk ‘selesai di luar’, sentiasa membuat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi yang berkaitan,” katanya.
Orang ramai juga diminta memberitahu pasangan, rakan atau ahli keluarga tentang panggilan diterima bagi mendapatkan pandangan atau menghubungi hotline National Scam Response Centre 997 untuk laporan atau mendapatkan khidmat nasihat.
Jangan kongsi atau serah maklumat perbankan dalam apa jua keadaan jika diminta oleh orang yang tidak dikenali, katanya.
Leave a Reply