Azeez Rahim dilantik Pengerusi KEDA

Oleh BADLISHAH MAT

KERAJAAN Perpaduan melantik bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang baharu.

Pengumuman itu dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW di Masjid Al-A’la di Pekan Jitra, Kubang Pasu.

Kata beliau, Abdul Azeez menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dijanjikan jawatan lain di peringkat nasional.

“Pelantikan ini diharap dapat mengeratkan jalinan agensi KKDW dan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta pimpinan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pendirian politik kepartian yang membezakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan diketepikan agar kepentingan rakyat menjadi keutamaan.

Katanya, dasar kerajaan adalah menyantuni kekurangan, permasalahan dan juga pembangunan yang diperlukan negeri-negeri mengikut peruntukan yang telah ditentukan.

“Kerjasama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri harus terjalin di mana-mana juga kementerian. Keserasian mesti diwujudkan dan jika terdapat jurang sekali pun mesti ada usaha untuk mendekatkan jurang itu.

“Saya sebut tentang kepentingan rakyat perlu melebihi kepentingan-kepentingan politik dan kepentingan yang dianggap sebagai jumud atau sempit terhadap rasa amarah dan perbezaan antara pemimpin atau pengikut dalam hal ini,” katanya.

Kata Ahmad Zahid, rakyat mesti merasai sesuatu manfaat atau projek yang dibawa dengan semua keberhasilan yang dilaksanakan itu perlu menepati tanda aras kepuasan di peringkat akar umbi.

“KKDW sebagai salah sebuah kementerian yang mempunyai agensi utamanya di Kedah iaitu KEDA akan terus menjalankan semua pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam ucapan belanjawan lalu.

“Saya mengambil pendekatan melakukan pemantauan terhadap prestasi, bukan hanya terhadap berapa peratusan perbelanjaan yang dikeluarkan. Saya mengkaji dari segi keberkesanan kepada kos sesuatu projek itu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *