AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak ‘spin’ kehadiran Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat terutama ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ).
Ini disebabkan Fahmi sendiri pun hanya hadir ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam dewan dan hilang tidak lama kemudian.
“Tak perlulah nak ‘spin’ mengatakan orang itu tak hadir, orang ini tak hadir seperti yang beliau buat kelmarin.
“Kenapa pula fokus masa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) saja dan bukan waktu lain? Sebenarnya kelmarin Fahmi sendiri pun hanya hadir bila Anwar Ibrahim ada dalam Dewan.
“Lepas tu dia terus hilang. Bila pecah tembelang, nak bagi alasan apa? Adakah kehadiran di Parlimen ialah untuk menjilat boss saja,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.
Menurut Wan Saiful lagi, kelmarin ketika di Dewan Rakyat, sewaktu Anthony Loke membahaskan rang undang-undang berkaitan kementerian beliau, semua kerusi MP dalam blok yang beliau duduk kosong (sambal berkongsi gambar dalam dewan berkenaan).
“Anthony kata Menteri dan Timbalan Menteri terpaksa ke Dewan Negara kerana menjawab soalan di sana.
“Maka saya terus pergi ke Dewan Negara untuk check. Cuba lihat gambar kedua yang saya ambil. Saya hanya nampak Datuk Seri Mohamad Sabu, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan satu dua Timbalan Menteri. Tak lah seramai yang digambarkan oleh Anthony Loke,” katanya.
Wan Saiful turut mendakwa persepsi yang diberikan oleh Anthony tidak betul kerana MP kerajaan yang tidak hadir Dewan Rakyat sebenarnya tiada di Dewan Negara.
“Tapi, saya tak mahu komen mengenai isu kehadiran Dewan Rakyat. Bagi saya ini bukan perkara pokok. Kita harus faham bahawa hakikatnya, selain berbahas di Dewan Ahli-Ahli Parlimen juga ada tugas dan tanggungjawab lain yang juga wajib mereka laksanakan.
“Kita mesti adil dalam hal ini. Saya juga ada tidak hadir beberapa hari kerana menguruskan hal mahkamah dan peguam, dan ada hari saya terpaksa ke Tasek Gelugor untuk mesyuarat. Ada pula MP yang jadi Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Lembaga agensi, atau berjawatan dalam parti, mereka terpaksa pergi menunaikan semua tanggungjawab itu. Ada juga yang menghadiri Kamar Khas, APPG, mesyuarat portfolio, atau bertemu pengundi yang mahu jumpa di Parlimen atau di luar.
“Malahan ada juga MP yang terpaksa keluar sekejap menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa, atau tanggungjawab dalam persatuan atau syarikat yang mereka pegang amanah jawatan. Semua ini adalah asbab yang valid,” katanya.
Beliau juga menjelaskan dalam kalangan Ahli Parlimen PN, mereka punya kesedaran tinggi mengenai keperluan untuk hadir Dewan Rakyat selain persediaan untuk berbahas dibuat dengan rapi dan setiap hari akan berbincang pembahagian data, fakta dan peranan demi memastikan semak imbang yang baik.
“Jika ada dalam kalangan kami yang lewat atau tak dapat hadir, kami biasanya maklumkan kepada Ketua Whip, walaupun ramai yang terus tulis dalam whatsapp group MP PN saja supaya semua rakan- rakan juga tahu. Jadi tak perlulah cuba wujudkan persepsi songsang atau spin berlebihan.
“Saya lebih suka jika kita buat dua perkara iaitu memastikan kualiti perbahasan, soalan dan jawapan di kalangan mereka yang hadir adalah tinggi dan baik. Jangan jadi cacamarba seolah-olah kata-kata kita dalam Dewan tak penting, dan pastikan paksi kita ialah fakta.
“Seterusnya mempertingkat komitmen untuk kehadiran yang lebih baik. Ini tak boleh dielak. Memang mesti pastikan secara berterusan. Jika kita dapat pastikan dua perkara ini berlaku, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, saya yakin peranan parlimen sebagai badan legislatif dalam demokrasi berparlimen akan jadi lebih matang dan efektif,” katanya, lapo SatuBerita.
Leave a Reply