PN tak berganjak perjuang isu rakyat termasuk KWSP bersasar – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak akan berganjak daripada memperjuangkan nasib rakyat termasuk isu tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan pemandu teksi, Noorazlan Ismail yang sanggup berjalan kaki dari Skudai ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum menuntut dibenarkan pengeluaran KWSP juga selari dengan apa yang sedang diperjuangkan oleh gabungan itu.

Beliau berkata, ia terutamanya dalam mendesak kerajaan campuran PH-BN membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi mengurangkan beban hidup rakyat.

“Malangnya sehingga kini kerajaan tidak mahu mendengar desakan tersebut, malah tidak nampak tanda-tanda atau usaha untuk menyelesaikan isu ini.

“Saya berharap kerajaan melihat apa yang Noorazlan lakukan adalah mewakili ribuan pencarum lain yang turut terkesan teruk dengan tekanan ekonomi pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau berpeluang bertemu dengan Noorazlan dan kagum kagum dengan kegigihan lelaki berusia 48 tahun itu meredah panas dan hujan sepanjang lima hari berjalan kaki lebih 300 kilometer demi menuntut haknya.

Katanya, beliau bersyukur apabila Noorazlan memberitahu dia sihat dan tiba di Kuala Lumpur dengan selamat semalam.

“Apa yang Noorazlan lakukan adalah simbol kepada kesusahan hidup rakyat yang mempunyai caruman KWSP tetapi tidak dapat mengeluarkannya ketika berhadapan dengan kesempitan hidup,” katanya.

Sementara itu, perjuangan Noorazlan yang nekad berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP berakhir selepas tiba di Kuala Lumpur, hari ini.

Norazlan yang memulakan misi perjalanan solonya pada 28 Mac lalu tiba di ibu negara semalam selepas mengharungi enam hari perjalanan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *