Mogok doktor kontrak: Keadaan terkawal di HKL

HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) berada dalam keadaan terkawal di sebalik ura-ura berlakunya mogok doktor kontrak selama tiga hari hingga Rabu ini.

Tinjauan UtusanTV di HKL mendapati, keadaan lengang dengan tiada sebarang bentuk perhimpunan diadakan di persekitaran hospital berkenaan.

Malah, klinik pesakit luar juga berfungsi seperti biasa dengan petugas kesihatan terus memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

Situasi itu sekali gus membuatkan perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan berjalan lancar setakat ini.

Difahamkan, kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula hari ini, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

Suasana di Kaunter Farmasi kelihatan tenang dan terkawal berikutan laporan bahawa Doktor kontrak akan mengadakan mogok ketika tinjauan Warta Rakyat di sekitar Hopital Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan kepada kakitangan perubatan supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram.

Dalam satu hantaran Facebook, KKM berkongsi Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan pada 2011 susulan terdapat khabar angin kumpulan doktor kontrak bakal mengadakan mogok pada Isnin hingga Rabu ini.

Surat bertarikh 30 Jun 2011 itu kembali disiarkan di Facebook KKM dengan Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *