Harap ada berita gembira buat rakyat – Azlan

PERJUANGAN Noorazlan Ismail, 49 yang nekad berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berakhir selepas tiba di Kuala Lumpur, hari ini.

Norazlan yang memulakan misi perjalanan solonya pada 28 Mac lalu tiba di ibu negara semalam selepas mengharungi enam hari perjalanan.

Bapa kepada lima orang anak itu membawa misi agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP one-off untuk golongan yang terkesan sepertinya.

“Alhamdulillah saya tiba semalam dengan selamat dan membawa satu misi rakyat iaitu pengeluaran secara bersasar KWSP.

“Perjalanan saya juga dipermudahkan dan ramai yang ingin membantu sepanjang enam hari tersebut.

“Sepanjang perjalanan membawa misi ini, saya berdepan dengan pelbagai cabaran terutama cuaca dan kaki sedikit melecet namun tidak berdepan sebarang masalah keesihatan lain,” katanya pemberita ketika ditemui di hadapan pintu Istana Negara hari ini.

Menurutnya, dia gembira berjumpa sultan dan berharap akan ada berita gembira buat rakyat Malaysia.

“Saya harap dapat membantu membawa suara rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP demi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya, lapor SatuBerita.

Turut hadir, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia, Azmi Mohd. Tahir.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Norazlan mengakui tindakan berjalan kaki ke Istana Negara itu umpama ‘misi gila’, namun dia menganggapnya sebagai usaha agar kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman tersebut.

Usaha itu dilakukannya, bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kepayahan rakyat disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia kehilangan pekerjaan sebagai pemandu kepada individu bergelar Datuk di Johor Bahru, akibat pandemik Covid-19

Lebih malang, berikutan hilang punca pendapatan, dia turut mengalami masalah rumah tangga yang menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan isteri kerana faktor kewangan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *