POLIS menahan seorang lelaki kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri awal pagi tadi.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata lelaki tempatan berusia 35 tahun itu disyaki berada bawah pengaruh alkohol ketika melakukan perbuatan berkenaan, kira-kira 3.15 pagi.
Beliau berkata, lelaki tersebut bertindak demikian selepas berang apabila kad banknya tidak dikembalikan oleh mesin itu ketika melakukan transaksi.
“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Iskandar Puteri berjaya menangkap suspek yang disyaki melakukan khianat pada harta-benda.
“Pemeriksaan mendapati suspek memecahkan skrin sebuah daripada mesin ATM di bank tersebut selain turut menendang tong sampah yang mengandungi resit dalam bank terbabit akibat geram,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply