Ganjaran RM50,000 jika temui Akmal – Keluarga

KELUARGA kepada penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang hilang selepas keluar mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing menawarkan ganjaran sebanyak RM50,000 kepada sesiapa yang berjaya menemui lelaki itu.

Muhammad Akmal Hakimi, 20, sudah hampir dua bulan hilang dan usaha mengesannya sejak Februari lalu menemui jalan buntu.

Muhamad Akmal Hakimi Ishak FOTO MEDIA SOSIAL

Bapanya, Ishak Kamis, 58, berkata, mereka sekeluarga tidak pernah berputus asa untuk mencarinya selain terus berdoa agar anaknya selamat.

“Saya dan isteri Saniah Bidin, 53, serta anak sulung, Muhammad Mirza Qusyari, 26, sentiasa berusaha mencari Akmal yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

“Selepas sahaja operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan kami sekeluarga masih di Pulau Mawar untuk mencari Akmal.

“Malah dua hari sebelum tibanya Ramadan, saya bersama Mirza ke Pulau Mawar untuk mencari Akmal,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Selain itu, Ishak berkata, beberapa sukarelawan dan pengamal perubatan Islam dari Kuala Lumpur turut menawarkan diri membantu mencari Akmal.

“Setakat ini, memang tiada petunjuk baharu tentang kehilangan Akmal tetapi saya tetap berharap agar Akmal dapat ditemui.

“Saya pernah bermimpi Akmal berada di belakang saya dan kemudian hilang. Begitu juga dengan Mirza yang bermimpi Akmal beritahunya jangan sedih,” katanya yang tinggal di Taman Makmur, Kluang.

Ishak memberitahu kehilangan tanpa berita anak tersayang menyebabkan Ramadan kali ini dilalui dalam keadaan suram.

“Akmal ada meminta ibunya memasak lemak tempoyak beberapa hari sebelum dia dilaporkan hilang di Pulau Mawar.

“Terima kasih kepada pihak yang membantu usaha pencarian Akmal sehingga kini, terutama penduduk kampung berdekatan Pulau Mawar,” katanya.

Akmal merupakan penuntut jurusan kejuruteraan marin UniKL di Lumut Perak dan sedang cuti semester sebelum dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing pada 1 Februari lalu.

Polis kemudiannya menerima laporan berkaitan penemuan motosikal dipercayai milik mangsa dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi pada 3 Februari lalu dan melancarkan SAR pukul 5 petang pada hari sama.

Operasi SAR membabitkan anggota dari polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Mersing, malim gunung dan penduduk.

Pada 9 Februari, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, SAR melibatkan pelbagai agensi dan aset itu ditamatkan selepas enam hari dijalankan ekoran tidak menemukan petunjuk walaupun pencarian melibatkan kawasan darat dan perairan telah dilakukan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *