Exco Melaka dijangka angkat sumpah Rabu

MAJLIS istiadat angkat sumpah barisan exco Melaka dijangka berlangsung Rabu ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan nama exco itu dibincang dan diterima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri, semalam.

“Seperti yang saya janjikan, saya telah melengkapkan senarai nama barisan exco dalam tempoh 48 jam.

“Senarai nama yang dirundingkan telah diterima dan saya akan menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam selepas beliau pulang dari luar negara.”

Beliau berkata demikian selepas memulakan tugas rasmi sebagai ketua menteri Melaka ke-13 dengan memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh pagi ini.

Katanya, urusan pengumuman rasmi barisan exco itu akan diselesaikan sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ke Melaka Rabu ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas komposisi Exco daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan serta jawatan timbalan exco yang akan diwujudkan. Katanya, hal itu hanya akan diumumkan kemudian.

“Apa yang boleh saya katakan, portfolio cantik dan menarik. Jadi, kita tunggulah Rabu ini,” katanya.

Terdahulu, Rauf, 62, tiba di Seri Negeri dengan menaiki kenderaan rasmi ketua menteri pada 7.30 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari serta kakitangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Jumaat lalu, susulan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *