KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memberi penjelasan mengenai caj yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah yang didakwa sangat membebankan ibu bapa.
Menurut Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, segelintir ibu bapa mempertikaikan tindakan sekolah yang masih meminta bayaran sedangkan KPM telah memansuhkannya pada tahun 2011.
Beliau berkata, usaha itu untuk memastikan ibu bapa tidak dibebankan dengan bayaran yang tidak berkaitan masalah persekolahan serta kenaikan kos sara hidup kebelakangan ini.
“Saya minta KPM menyatakan bagaimana kementerian akan menyelia caj yuran dikenakan oleh PIBG di sekolah yang membebankan pihak ibu bapa.
“Adakah kerajaan sedar bahawa sebelum ini telah memansuhkan setiap bentuk yuran dalam usaha mengurangkan beban kewangan,” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini, lapor Harakahdaily.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Peraturan Pendidikan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) 1998 membenarkan PIBG mengutip dana serta sumbangan.
Langkah itu katanya diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan serta dimaklumkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri sebagai Pendaftar Negeri.
“KPM tidak menetapkan sebarang bayaran yuran di sekolah, tetapi sentiasa memantau dan memastikan sekolah mematuhi prosedur yang ditetapkan supaya tidak membebankan ibu bapa.
“Dalam hal ini, surat siaran KPM Bilangan 4 Tahun 2011 garis panduan kutipan bayaran keperluan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah berkaitan sebagai rujukan,” katanya.
Malah, katanya KPM mengulangi perkara itu menerusi surat pemakluman sumbangan PIBG pada 15 September 2021 memberi peringatan sekolah tidak mengenakan bayaran tambahan.
Beliau yakin peranan besar yang dimainkan oleh PIBG dapat memastikan pembangunan pendidikan murid dan kemajuan sekolah dapat direalisasikan tanpa membebankan ibu bapa.
“Ibu bapa dan penjaga murid digalakkan memberi sokongan penuh kepada PIBG dalam apa jua aktiviti yang dirancang termasuk dalam usaha mendapatkan sumbangan.
“Ini untuk membantu sekolah dalam aspek program pengurusan sekolah,” katanya.
Leave a Reply