Keluarkan cecair vape daripada Akta Racun tindakan tidak bijak – Pemuda UMNO

Oleh DR AKMAL SALEH

  1. Mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin dari Akta Racun supaya ia boleh dikenakan cukai semata-mata bukanlah satu tindakan yang wajar dan bijak pada ketika ini.
  2. Benar sebelum ini, kesemua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai Akta Racun, akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini.
  3. Penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari Akta Racun ini seolah lesen besar membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan. Kebimbangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya
    kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan.
  4. Oleh demikian, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar keputusan ini perlu dinilai dan ditarik semula sehingga parlimen meluluskan Rang UndangUndang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan Generasi Penamat Rokok dan Vape yang lahir selepas tahun 2007 (Generational End Game) supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan.
  5. Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu barulah Kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat.
  6. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian tegas agar cadangan yang dikemukakan ini dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya juga akan menyerahkan surat berhubung perkara ini, menyatakan bantahan serta cadangan kepada YAB Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan.

Penulis ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *