pelaburan kedah sanusi PAS logo

‘Dituduh bocor rahsia punca dihalang sertai program Persekutuan’

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beliau dituduh membocorkan rahsia Mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di Parlimen sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu, hingga menyebabkannya dihalang daripada menyertai sebarang program kerajaan Persekutuan.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas itu, kejadian tersebut berlaku ketika Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sekarang masih belum dilantik.

Dalam Mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di Parlimen sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu itu katanya, terdapat dua pembentangan dengan yang pertama dari pegawai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai kedudukan perumahan awam di seluruh negara.

“Hari pembentangan kedua melibatkan Kementerian Kewangan dibentangkan sendiri menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab KSP semasa itu, beliau ‘pi’ bubuh peti sejuk. Apabila beliau bentang sendiri, maka beliau bukan nak ‘detail’ setiap angka dalam kertas tersebut sebaliknya bersyarah sampai cerita falsafah kewangan Turki dan sebagainya.

“Ini bukan pembentang sebaliknya syarahan kewangan dan saya turut hantar mesej kepada seorang menteri yang turut terlibat dalam mesyuarat tersebut. Selepas itu, saya ada pula ceramah di Sungai Besar.

“Dalam ceramah itu, saya ‘habaq’ la bahawa pembentangan pertama dalam mesyuarat tersebut dibentangkan pegawai KPKT manakala pembentangan kedua dibuat Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan kerana KSP tidak hadir. Inilah tuduhan ke atas saya kerana membocorkan rahsia kerajaan, jadi saya dilarang sertai program-program Persekutuan kerana ceritakan bahawa Anwar Ibrahim bentang sendiri kertas kementeriannya,” katanya.

Klip video ceramah berkaitan perkara itu dimuat naik Muhammad Sanusi di laman sosial rasmi Facebooknya, hari ini.

Tambahnya, alasan itu terlalu bodoh kerana siapa yang membentangkan kertas itu bukanlah sesuatu yang sulit sebaliknya perkara yang sulit adalah kandungan pembentangan tersebut.

“Saya ‘habaq’ siapa bentang, saya tak ‘habaq’ dia cerita apa. Bila keluar arahan Kabinet, dia akan turun kepada ‘post Cabinet Meeting’ dan semua Kementerian akan dapat arahan sama.

“Sekarang ini semua agensi ‘dok’ menggerodak dalam perut, takkan ini saja alasan nak kena halang saya,” katanya.

Dakwanya, semua agensi Persekutuan di Kedah turut menerima arahan sama.

“Walaupun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ada di kedah, tetapi saya tak boleh terlibat, ambil tahu atau hadir program mereka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *