Oleh BADLISHAH MAT
SEPASANG suami isteri maut selepas van dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 41.02 Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik di Baling, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu menyebabkan, Saiful Azmi Mohd. Razali, 35, yang memandu van tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Isterinya, Sailulhayati Mat Isa, 36, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kulim.
Anak pasangan terbabit, Amar Rizqi, 2, pula hanya mengalami kecederaan kulit tangan sebelah kiri yang terbakar dan cedera di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van jenis Nissan dinaiki tiga beranak dari arah Baling menghala ke Kulim dipercayai hilang kawalan.
“Kenderaan tersebut kemudian terlanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan dan menyebabkannya berpusing.
“Pada masa sama sebuah pikap jenis Isuzu dipandu seorang guru yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan sebelah kiri van berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saiful Azmi bekerja sebagai pembantu bengkel, manakala isterinya merupakan suri rumah.
Leave a Reply