Lelaki OKU cederakan bekas majikan tak bayar hutang

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki bisu dan pekak ditahan polis bagi membantu siasatan kes bekas majikannya yang ditemukan berlumuran darah di Jalan Pertanian 26, Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru, malam tadi.

Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 10.56 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa, 45, bekerja sebagai pemandu lori dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan, muka dan telinga dipercayai terkena ojbek tajam.

“Hasil tindakan pantas polis pada jam 12.15 tengah malam tadi berjaya menahan suspek yang merupakan warga tempatan berusia 26 tahun di rumahnya di Taman Universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pakaian digunakan suspek yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu semasa kejadian turut dirampas.

Jelasnya, semakan lampau mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan tiga kes jenayah dan satu kes dadah.

“Motif kejadian kerana mangsa dikatakan tidak membayar gaji semasa suspek bekerja dengannya sebagai kalindan lori,” ujar beliau.

Suspek katanya, direman selam tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *