cai fahmi fadzil peratusan mengundi

Kumpulan wartawan bidas Fahmi tak puas hati siaran FB media

KESATUAN Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) mengecam Menteri Komunikasi dan Digital yang tidak berpuas hati dengan laporan akhbar arus perdana tempatan memetik penganalisis sebagai menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik dalam beberapa bulan ini.

Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Yusof berkata, laporan Berita Harian mengenai isu itu merupakan laporan lazim yang biasa dibuat oleh agensi dan portal media.

Jelasnya, menteri berkenaan, Fahmi Fadzil seharusnya faham dan sudah menjadi kelaziman juga buat agensi media menguar-uarkan laporan mereka dalam media sosial dan bukan dalam media cetak sahaja.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab berhubung media, Fahmi seharusnya maklum dengan amalan lazim ini di mana media akan membuat laporan berdasarkan pandangan dan ramalan pakar dalam industri.

“Tindakan Fahmi melekehkan laporan Berita Harian, yang disiarkan dan dipautkan ke Facebook, dan kenyataannya menyifatkan laporan itu sebagai penipuan boleh memberi persepsi negatif terhadap media,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai membidas siaran Facebook Berita Harian Online yang tertera kenyataan ‘OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai’.

Dalam kenyataan di Facebook, Fahmi berkata, siaran Facebook Berita Harian Online itu menjadi fitnah terhadap Bank Negara dan kerajaan.

“Saya akan jumpa pengurusan BH hari ini, insya-Allah,” kata menteri itu.

Pada ruangan komen siaran Facebook itu, Fahmi turut menegaskan bahawa rencana yang dipautkan pada siaran itu adalah pandangan penganalisis dan bukannya keputusan bank negara ataupun kerajaan.

“Berita Harian Online wajib betulkan dan jelaskan,” katanya lagi.

Sementara itu, NUJ Semenanjung Malaysia mempersoalkan kebebasan media yang dijanjikan kerajaan baharu.

“Di mana kebebasan media yang dijanjikan kerajaan baharu jika menteri media melabel laporan oleh media tempatan mengenai ramalan kewangan sebagai ‘fitnah’?

“NUJM berharap menteri berkenaan boleh lebih memahami laporan yang dihasilkan media tempatan yang sebagai sumber berita yang boleh diharap, dipercayai dan kredibel,” katanya, lapor Malaysiakini.

Dalam perkembangan sama, kumpulan hak wartawan dan pengamal media, Gerakan Media Merdeka (Geramm Malaysia) menyifatkan tindakan Fahmi secara terbuka melabelkan siaran berkenaan sebagai ‘fitnah’ adalah bentuk ancaman terhadap kebebasan media.

Kata Geramm, tindakan itu juga tidak selari dengan janji-janji kebebasan media yang sering diucapkan sebelum ini.

“Sebaliknya, menteri yang turut merangkap jurucakap kerajaan, boleh mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjelaskan sebarang laporan dalam mana-mana media sekiranya dianggap perlu.

“Perlu diingatkan sebarang kenyataan terbuka dari pihak menteri terutama di media sosial boleh membuka ruang untuk serangan peribadi (doxxing) terhadap media atau wartawan berkenaan,” katanya.

Dalam kenyataan susulan selepas pertemuan dengan pihak pengurusan Berita Harian Fahmi berkata, dia tiada masalah dengan laporan berkenaan.

Namun, katanya, siaran Facebook laporan itu ‘jauh berbeza’ kerana memberi gambaran seolah-olah Bank Negara atau kerajaan telah membuat keputusan.

“Ini tidak benar dan tidak adil kepada Bank Negara dan kerajaan.

“Pengurusan BH faham apa yang saya maksudkan dalam hal ini dan telah bersetuju untuk membetulkan post tersebut. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan pengurusan di atas kerjasama ini.

“Kami juga sempat bertukar pandangan tentang isu kebebasan media, etika kewartawanan, serta cabaran ekonomi yang dihadapi industri,” katanya.

Fahmi berkata bahawa dia menghormati dan akan sentiasa pertahankan hak serta kebebasan media, namun menambah bahawa teguran perlu dibuat jika wujud salah faham yang boleh menimbulkan fitnah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *