SEORANG bekas ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan agar menyemak semula perintah melarang penjawat awam membuat kenyataan secara terbuka mengenai dasar kerajaan (gag order).
Dr. Lee Boon Chye, yang juga bekas timbalan menteri kesihatan berkata, peraturan sedia ada sudah ketinggalan zaman.
“Saya percaya ia harus disemak semula berdasarkan semangat ‘masyarakat Madani’. Setiap orang harus bertanggungjawab atas kenyataan mereka, sama ada mereka penjawat awam atau bukan.
“Bagaimanapun, mereka harus dinilai hanya jika mereka membuat kenyataan berniat jahat atau palsu, bukan kerana mereka penjawat awam,” katanya kepada FMT, merujuk kepada komen rakan separtinya yang juga Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.
Pada Khamis, Zaliha memetik Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang menyatakan bahawa pegawai awam tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis, membuat sebarang kenyataan awam berhubung mana-mana dasar kerajaan, rancangan, atau keputusan dalam apa jua isu.
Beliau menjawab soalan Senator Zurainah Musah yang bertanya kepada Zaliha mengenai dasar kementerian berkenaan kakitangannya bercakap kepada media mengenai situasi di fasiliti kesihatan awam, dengan syarat nama mereka tidak disiarkan.
Sementara itu, tiga doktor dari Lembah Klang, yang memilih untuk menggunakan nama pertama mereka, menzahirkan kekecewaan terhadap peringatan Zaliha kerana bersifat regresif.
Dr. Irsyad berkata, mengingatkan doktor tentang perintah larangan itu, apabila mereka bercakap tentang isu dan memohon tindakan, ‘tidak membantu’.
Dr. SK juga berkata, jika kakitangan kesihatan ingin bersuara tentang isu yang memberikan kesan kepada mereka, kementerian tidak seharusnya berselindung di sebalik perintah larangan tersebut.
“Peraturan itu diperlukan, tetapi ia harus berdasarkan kes. Menteri harus menepati kata-katanya dan meneliti rungutan semasa oleh doktor secara lebih membina, bukannya menggunakan dasar untuk menyembunyikan kelemahan dalam sistem,” katanya.
Beliau juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa penjawat awam harus bersuara menentang tindakan kerajaan yang dianggap melanggar peraturan dan undang-undang.
Dr. Tim berkata, kementerian tidak sepatutnya mengawal selia kenyataan mengenai dasar awam kerana ia ‘mengganggu kebebasan bersuara’.
Beliau turut menggesa menteri supaya tidak menghukum mereka yang menyuarakan kebimbangan.
Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dr. S. Subramaniam berkata, peringatan itu bukan sesuatu yang asing kerana telah menjadi dasar kerajaan selama beberapa dekad.
“Arahan sebegini penting untuk memastikan pandangan yang bercanggah dan kenyataan yang secara faktanya tidak tepat tidak dikeluarkan anggota perkhidmatan awam dan disampaikan kepada orang ramai,” katanya.
Tegasnya, tanggungjawab menyampaikan pandangan sedemikian diserahkan kepada ketua jabatan berkaitan.
Leave a Reply