DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur tujuh pusat pelacuran yang beroperasi pada bulan mulia ini di sekitar Jalan Petaling, Kuala Lumpur malam tadi.
Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko itu bermula 9 malam, dijalankan bersama polis selepas risikan di beberapa lokasi panas di ibu negara.
DBKL dalam kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya mengenal pasti premis-premis perniagaan yang menawarkan aktiviti seks dan pelacuran melibatkan wanita warga asing.
“Tujuh premis diserbu dan menahan empat wanita Bangladesh, India (satu) dan Indonesia (satu) disyaki bekerja sebagai pelayan.
“Seramai 16 lelaki terdiri daripada dua warga tempatan disyaki penjaga premis dan 14 warga asing dipercayai pelanggan turut ditahan,” menurut kenyataan tersebut.
DBKL mengarahkan semua premis ditutup mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan turut dikenakan notis kompaun.
“DBKL bertindak memecahkan 85 bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 212 pelbagai barangan dan peralatan dipercayai bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Antaranya, kondom, minyak pelincir, tisu basah, kipas dinding, cctv dan dibawa ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply