SELEPAS ‘menghilang’ sejak sembilan bulan lalu, seekor buaya tembaga hampir dua meter muncul di persisiran Sungai Melaka, Melaka sejak minggu lalu.
Kelibat dipercayai buaya sama kali pertama dirakam di kawasan pokok bakau pada Julai 2022 oleh penjaga tokong berhampiran pusat beli-belah The Shore di Melaka, namun ketika itu dikatakan saiznya masih kecil.
Terbaharu tular video dan gambar buaya itu berjemur di dahan pokok bakau di kawasan terbabit hingga menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai ancaman reptilia ganas itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong, beliau meninjau lokasi minggu lalu, selepas dimaklumkan mengenai buaya itu yang muncul ketika cuaca panas antara pukul 2 hingga 4 petang.
“Saya sendiri nampak buaya itu di persisiran The Shore. Jadi saya berharap pihak berkaitan dapat memasang papan tanda mengingatkan orang ramai yang bersiar-siar di persisir Sungai Melaka supaya berhati-hati.
“Pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) juga diharap bertindak segera untuk menangkap buaya itu,” katanya dihubungi, lapor Berita Harian.
Beliau difahamkan sejak pertengahan tahun lalu penduduk melihat buaya itu yang dipercayai bersarang di bawah jambatan kayu di persisir sungai.
Disebabkan kerja pembinaan jambatan kayu berdekatan kawasan Bunga Raya Pantai di Melaka katanya, sarang buaya mungkin diganggu dan ia menghilang untuk sementara waktu.
“Namun, apabila pembangunan jambatan kayu dihentikan baru-baru ini, buaya itu muncul semula,” katanya sambil meminta orang ramai berhati hati.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Firrdhaus Mahmood ketika dihubungi berkata, siasatan sedang dijalankan pegawainya susulan aduan terbaru diterima.
Beliau berkata, usaha menjejaki buaya terbabit termasuk memasang perangkap dilakukan sejak tahun lalu, namun tidak berhasil.
“Pihak kami juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka untuk melaporkan segera jika terserempak buaya di Sungai Melaka,” katanya.
Leave a Reply