Wan Fayhsal kemuka usul gesa bahas pengeluaran KWSP

SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul menggesa Dewan Rakyat membahaskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Usul itu dikemukakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) dan (2).

“Usul ini hendaklah disegerakan memandangkan pelbagai lapisan rakyat menyatakan kehendak ini buat suatu tempoh yang mendesak dan bertambahnya jumlah kumpulan rakyat yang tidak dapat menampung belanja kehidupan pada waktu dan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, usul itu melibatkan kepentingan orang ramai berdasarkan keluhan dalam media sosial.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut merujuk tindakan seorang pemandu teksi Noorazlan Ismail, 49, dalam misi berjalan dari Johor Bahru ke Istana Negara, Kuala Lumpur, sebagai usahanya menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP.

Sementara itu, di Facebooknya Wan Fayhsal berkata mengikut Peraturan Mesyuarat, speaker perlu menerima usul itu secara bertulis sebelum 10 pagi iaitu 24 jam sebelum ia boleh dibangkitkan dan dibahas.

“Memandangkan soalan saya berkenaan hal ini tidak dapat dijawab oleh menteri kewangan semalam maka ada keperluan ia disegerakan minggu depan kerana hari persidangan hanya berbaki dua hari lagi sebelum tamat sesi Dewan Rakyat kali ini.

“Moga Yang di-Pertua menerima usul ini untuk dibahaskan memandangkan ianya adalah perkara yang amat mustahak melibatkan kepentingan awam,” katanya lapor FMT.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *