SEORANG PEnuntut kolej swasta ditahan bersama enam kilogram (kg) kek ‘brownies khayal’ dalam serbuan di sebuah premis di Jalan 9, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melancarkan serbuan pada pukul 5 petang hasil risikan dijalankan pihak polis.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya menahan lelaki warga tempatan berusia 19 tahun dan merampas enam kilogram kek yang mengandungi ganja bernilai RM21,000.
“Suspek adalah penuntut kolej swasta. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Suspek dipercayai aktif menjalankan pengedaran kek ganja sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca bekalan diperolehi.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia bebas daripada sebarang jenis dadah, ujarnya.
“Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply