Muhammad Sanusi nekad pastikan LIMA ’23 berjalan lancar walaupun ‘terpaksa’ digantikan

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kerajaan negeri memberi komitmen 100 peratus untuk membantu melancarkan perjalanan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23), walaupun semua acara melibatkannya ‘terpaksa’ digantikan individu lain.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan semua acara di LIMA ’23 berjalan lancar dan sempurna walaupun semua acara melibatkan beliau, terpaksa dipinda untuk digantikan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali.

Menerusi status terbaru dimuat naik di laman Facebooknya tengah malam tadi, beliau memaklumkan yang Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah diarahkan untuk memastikan bekalan air bersih ke Langkawi sepanjang tempoh LIMA ’23 dilangsungkan tidak terganggu walaupun akan menghadapi penggunaan mendadak.

“Semua infrastruktur bekalan air terutamanya ke Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi, Empangan Saga serta Bukit Malut akan disenggara sebaiknya untuk memastikann bekalan air dapat dibekalkan sempurna.

“Demikian juga agensi-agensi kerajaan lain khususnya di Langkawi yang telah bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah LIMA ’23,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi menerusi laman Facebook rasminya mendakwa mendakwa beliau telah dihalang daripada menghadiri sebarang majlis Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA ’23 yang bakal berlangsung antara 23 hingga 27 Mei depan.

Melalui status sama Muhammad Sanusi mendakwa, itu merupakan keputusan terbaru yang diambil Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Muhammad Sanusi, kertas arahan Kabinet berhubung perkara itu ditunjukkan pegawai seorang agensi kerajaan Persekutuan, kepada pegawai Pejabat Menteri Besar ketika mereka bertemu dalam satu mesyuarat di Langkawi, beberapa hari lalu.

Menerusi status sama, Muhammad Sanusi turut memberi jaminan untuk memastikan kalangan pengunjung memiliki pengalaman indah berada di Langkawi sepanjang tempoh itu.

“Kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, delegasi dari dalam dan luar negara yang terlibat serta para pengunjung, selamat datang ke Pulau Langkawi, permata Kedah.

“Kami akan pastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi adalah kunjungan terindah sepanjang hayat,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dalam pada itu turut mengakhiri statusnya dengan hadis riwayat Al-Bukhari berbunyi:

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya.

“Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *