haji kebenaran umrah

mrah ditunda, bakal jemaah tuntut bayaran

RATUSAN bakal jemaah yang sepatutnya mengerjakan umrah pada Februari atau Mac tahun ini menuntut sebuah agensi pengendali umrah memulangkan semula wang tempahan mereka.

Ini susulan dakwaan perjalanan umrah itu yang ditunda beberapa kali, selain ada yang mendakwa dibatalkan.

Seorang daripada mereka, Norhasdiana Mohamad Yusoh, 35, berkata, dia bersama 14 ahli keluarganya menuntut pulangan berjumlah RM113,890 selepas agensi umrah itu membatalkan tempahannya.

“Kami membuat tempahan untuk melakukan umrah pada 25 Februari tahun ini. Beberapa hari sebelum tarikh itu, kami mendapat notis penundaan tarikh kepada 6 Mac.

“Dimaklumkan kumpulan yang sudah menunda tarikh kepada 6 Mac akan dipecahkan kepada empat kumpulan (mengerjakan umrah). Kumpulan pertama 3 Mac, kedua 4 Mac, ketiga 5 Mac dan keempat 6 Mac.

“Dua hari sebelum tarikh itu, kami masih tidak dapat apa-apa butiran (untuk mengerjakan umrah). Tiket penerbangan dan hotel semua tak ada, kemudian keluar satu lagi notis pembatalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, pembatalan umrah itu juga menyebabkan neneknya yang uzur bersedih dan mereka kini terpaksa menempah untuk perjalanan pada Ogos dengan agensi lain.

“Sebab itu saya datang ke sini untuk dapatkan amaun penuh yang dibayar sebelum ini supaya saya boleh bayar kepada agensi itu,” katanya yang bekerja sebagai konsultan.

Seorang lagi bakal jemaah, Siti Noraini Hamzah, 38, membuat tuntutan sama bagi tempahan dua orang yang dibuat pada 27 Julai 2022.

Pensyarah itu berkata, pakej diambil untuk perjalanan pada 25 Februari hingga 8 Mac lalu dengan nilai RM16,980.

“Tetapi apabila tarikh nak dekat terbang, pihak agensi menundakan tarikh saya ke tarikh lain iaitu pada 6 Mac atas isu tiket (penerbangan) dan global.

“Sepanjang 25 Februari sehingga 6 Mac, tidak ada apa-apa maklumat mengenai butiran penerbangan dan info hotel pun tiada,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Menurutnya, dia kemudian diberi tiga pilihan sama ada mahu membatalkan pakej, menunda ke tarikh lain atau meminta pemulangan wang.

“Jadi kita minta pemulangan wang. Dia kata pemulangan wang ini dalam masa 14 hari. Ini sudah lebih 14 hari tak dapat duit itu. Kami nak duit balik,” katanya yang turut memaklumkan telah membuat laporan polis di Seri Alam, Johor.

Sementara itu, agensi pengendali umrah itu dalam kenyataannya hari ini berkata, penundaan selepas pemantauan perkembangan semasa di Tanah Suci Makkah dan Madinah, yang kini dilapor sesak dengan kehadiran jutaan jemaah dari seluruh dunia.

Katanya, keadaan ini berlarutan sejak pembukaan pintu sempadan Arab Saudi, malah jemaah yang berkunjung ke Tanah Suci meningkat terutama pada Ramadan.

“Difahamkan, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengehadkan permit umrah di bulan Ramadan kerana bilangan jemaah dari dalam dan luar negara menyukarkan tempahan dibuat untuk menunaikan ibadah itu.

“Aplikasi Nusuk menunjukkan tempahan slot Raudhah sentiasa penuh menyebabkan jemaah sukar mendapat peluang beribadah di ‘taman syurga’ itu.

“Pada masa yang sama, harga hotel-hotel di Mekah dan Madinah turut dilaporkan meningkat tiga kali ganda meskipun peningkatan harga pernah berlaku sebelum ini berikutan wujudnya kegiatan ulat yang mengambil kesempatan menjual tempat penginapan pada harga lebih tinggi,” katanya.

Untuk kelancaran, agensi itu berkata, berkemungkinan terpaksa menambah bayaran kos umrah dan ia kali pertama dilaksana pihaknya.

“Ini kerana sebelum ini pihak syarikat menyerap atau menanggung sendiri semua kos kenaikan yang berlaku.

“Bagaimanapun, bakal jemaah umrah yang tidak bersetuju berbuat demikian diberi pilihan untuk menangguhkan sementara ibadah umrah mereka ke suatu tarikh yang lain.

“Atau membuat pembatalan dan pembayaran balik akan dilaksanakan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *