Gangguan seksual: Jurulatih digantung tugas selepas pelumba basikal lapor polis

SEORANG pelumba basikal wanita negara membuat laporan polis terhadap jurulatihnya atas dakwaan gangguan seksual.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya memulakan siasatan selepas dimaklumkan mengenai laporan polis itu.

Tegasnya, Jawatankuasa Disiplin PKBM akan menyiasat dakwaan tersebut dengan teliti.

“Pada masa sama, jurulatih itu digantung tugas serta-merta sementara menunggu siasatan bagi memastikan tiada campur tangan semasa siasatan.

“PKBM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan agensi kerajaan lain dalam siasatan bebas mereka,” katanya menerusi ciapan menerusi Twitter, lapor FMT.

PKBM katanya, tidak akan berkompromi dengan keselamatan serta kebajikan pelumbanya dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual atau perbuatan lain yang termaktub dalam Kod Sukan Selamat.

Awal bulan ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, KBS akan memperkenalkan kod itu bagi menangani gangguan seksual, buli dan keganasan.

Kod itu yang termasuk garis panduan mengenai persekitaran sukan selamat, akan digunakan untuk menangani aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan Akta Sukan Selamat kelak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *