DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada pihak yang harus menentukan pendirian Malaysia untuk ‘berpihak’ kepada mana-mana negara termasuk dalam hubungan dua hala melibatkan ekonomi.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak persepsi segelintir pihak bahawa Malaysia bersikap berat sebelah, kerana didakwa ‘pro-China’.
Jelasnya, Sebagai sebuah negara kecil, Malaysia sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama termasuk dengan Amerika Syarikat (AS).
“China adalah jiran (rakan dagang) yang penting dan perdagangan utama tetapi AS sebagai sebuah negara yang mesra terhadap kita (Malaysia). Kita adalah sebuah negara yang kecil, tiada siapa patut ‘memerintah’ kita.
“Sebagai sebuah negara yang merdeka, kita perlu memutuskan apa yang terbaik untuk negara. Kita sedar perdagangan kita dari China, dan gembira menjadi jiran yang baik, mesra serta mendapat manfaat daripada kejayaan mereka.
“Jika AS mahu menyumbang, ia adil. Tetapi seperti saya katakan, tiada siapa harus ‘memerintah’ kita,” katanya dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan ucapan di Tshinghua University, di Beijing hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia bersetuju dengan inisiatif yang dibawa oleh Presiden China, Xi Jinping termasuk meluaskan isu kemanusiaan dan ketamadunan.
“Saya tidak mengatakan bahawa saya menentang sesiapa pun.
“Tetapi kita harus melihat ke hadapan dan saya tidak mengatakan China sebagai pesaing atau ancaman kepada kita. Ya, terdapat banyak perkara yang kami bersetuju, dan juga beberapa perkara yang kami tidak bersetuju (tindakan China),” ujarnya lagi, lapor Astro Awani.
Kedua-dua ekonomi besar dunia itu bertelagah dalam pelbagai isu termasuk perdagangan dan Taiwan.
Semalam, Perdana Menteri ketika berucap di Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) berkata persaingan teknologi seharusnya menjadi antara agenda utama untuk perbincangan di peringkat tertinggi, setanding dengan wacana mengenai hal-hal keselamatan dan ekonomi am.
Anwar ketika ini dalam rangka kerja rasmi ke China selama empat hari sehingga esok.
Leave a Reply