POLIS telah mengenal pasti pengirim bungkusan mengandungi tiub ubat gigi bercorak daun ganja kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata pihaknya telah mendapat butiran pengirim dan dalam usaha mengesan individu itu yang dipercayai warga tempatan, untuk ditahan.
“Bungkusan itu selepas kita hantar ke makmal kimia dan hasil analisa mendapati tidak mengandungi sebarang jenis dadah dan ia adalah ubat gigi,” katanya pada sidang media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat penghantaran bungkusan yang disyaki mengandungi barang terlarang, dialamatkan kepada Anwar dan Rafizi.
Terdahulu, Hussein memaklumkan polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah susulan penahanan tujuh individu warga tempatan.
Tangkapan yang turut melibatkan seorang wanita itu dilakukan Selasa lepas di sekitar Selangor dan Tanjung Malim, Perak.
“Jumlah dadah yang dirampas bagi kedua-dua kes adalah bernilai RM11.034 juta membabitkan dadah jenis methaphetamine dan heroin yang dipercayai untuk dipasarkan di Lembah Klang,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Leave a Reply