Tragedi 4 beradik maut kebakaran:Api marak cepat, terperangkap dalam bilik air

HASRAT seorang ibu yang meninggalkan empat anaknya di rumah semasa keluar mencari kelengkapan berbuka puasa berakhir tragedi menyayat hati apabila semuanya ditemukan meninggal dunia dalam bilik air malam tadi.

Kejadian pada pukul 7.49 malam di Kampung Sabak Awor, Muar itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

Mereka semuanya ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memberitahu, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran, manakala bapanya yang berusia 30 tahun bekerja di sebuah restoran di bandar Muar.

“Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.

“Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemukan dalam tandas dipercayai bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar selama 10 minit mengetahui tentang kebakaran itu selepas dihubungi jiran.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba.

“Mangsa sudah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.

Raiz Mukhliz, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang sudah merebak sehingga 70 peratus.

“Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.

“Setelah api padam sepenuhnya pihak bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan mayat dua kanak-kanak perempuan dua kanak-kanak lelaki,” katanya, lapor Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *