Ketuai kerajaan Melaka

Tiada desakan, lepaskan jawatan kerana desakan hati, kata Sulaiman

SELEPAS 48 jam mengunci mulut, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan keputusannya melepaskan jawatan sebagai ketua menteri dibuat tanpa desakan mana-mana pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu sebaliknya berkata, keputusan tersebut sudah lama dibuat kerana ‘desakan hatinya’ selain pernah beberapa kali menyatakan hanya ingin memikul tanggungjawab berkenaan selama sepenggal.

“Apa nak komen lagi, kenyataan sudah dikeluarkan Kerajaan Negeri dan Presiden UMNO dan apa yang (mereka) cakap, itu lah dia.

“(Tiada) desakan, (ini) desakan hati saya dan datangnya daripada naluri. Dah penat lah, bagilah orang lain peluang pula, itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi dekat Masjid Tanah, hari ini

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, beliau sudah beberapa kali menyatakan hasrat berkenaan kepada Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatannya sebelum ini.

“Sudah lama dah (mohon lepas jawatan), dulu saya pernah cakap sepenggal cukup lah,” katanya.

Menurut Sulaiman, beliau mengharapkan sesiapa sahaja yang bakal menggantinya termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disebut-sebut bakal mengambil alih tugas itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

“Masing-masing semua ada kelebihan, kita mesti sokong dan saya harap siapa sahaja bakal menggantikan buat lah yang terbaik (kerana) benda semua sudah ada,” tambahnya.

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka pada Khamis turut mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan Jumaat ini.

SUK negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataannya berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *