EMPAT beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor, Muar, malam tadi ada meninggalkan pesan kepada ibu mereka membelikan pakaian raya berwarna hitam.
Ibu kepada empat beradik malang itu, Nabila Sedu, 31 berkata, dia terkilan tidak sempat menyediakan kelengkapan berkenaan seperti mana yang diminta anak-anaknya sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Nabila ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dilihat mencium dan mendakap baju Tadika anaknya.
“Ada (pesanan) dari anak..mereka hendak baju raya warna hitam…,” katanya sambil mencium baju anaknya menurut laporan Berita Harian.
Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari Nabila dan suaminya Thein Ko Htut, 30, gagal kerana mereka sangat sedih dan tergesa-gesa meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Pasangan itu yang menetap di rumah sewa di Kampung Sabak Awor bersama empat anaknya sejak empat tahun lalu.
Dalam kejadian malam tadi, empat anak pasangan itu maut dalam kebakaran di rumah mereka.
Mereka ditemui di bahagian bilik air rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Muar Asistant Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku litar pintas, dipercayai bermula daripada dapur rumah berkenaan.
Beliau berkata mayat kesemua kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, untuk bedah siasat.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.
Leave a Reply