EMPAT jari tangan kiri seorang lelaki hancur
akibat terkena letupan mercun bola yang digunakan untuk menghalau anjing liar selepas mengganggu ternakan kambingnya dalam kejadian di Pokok Sena, malam tadi.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 10 malam apabila mangsa berusia 34 tahun membakar mercun untuk menghalau anjing yang mengganggu kambing peliharaannya berhampiran rumah di Kampung Paya Besar.
“Sebaik membakar sumbu, mercun itu tiba-tiba meletup tanpa sempat dilempar. Akibat letupan mercun itu, saya lihat tangan saya sudah nampak tulang putih, manakala empat jari hancur selain cedera di perut.
“Di kawasan rumah, memang banyak anjing liar dan sebelum ini pernah makan kambing saya antara tujuh hingga lapan ekor. Saya baling mercun bola untuk halau anjing liar di situ.
“Tetapi tak sangka ini yang terjadi,” katanya menurut Berita Harian.
Mangsa berkata, dia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Katanya, kejadian menyebabkan dua jarinya terpaksa dipotong, manakala dua lagi kudung.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan kejadian itu berlaku semalam namun tiada laporan dibuat setakat ini.
Leave a Reply