CCTV rakam remaja lelaki dera, bakar anjing

SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun dirakam mendera anjing liar dalam tiga kejadian berasingan, termasuk membakar seekor haiwan itu dalam serangan terbaharu dua hari lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemuda itu membaling pasu ke arah anjing yang mendiami ruang tangga, bersebelahan sebuah klinik veterinar di Johor Bahru pada 8 Mac lalu.

Pada 14 Mac lalu, dia kembali ke tempat sama dan membaling batu serta bata ke arah dua ekor anjing liar itu.

Pada 27 Mac lalu, dia dilihat memukul seekor anjing liar itu dengan batang besi sebelum meninggalkan tempat itu dengan kereta, tetapi kembali semula untuk membakar seekor daripadanya.

Menurut myforeverdoggo, platform menawarkan bantuan mencari tempat perlindungan bagi anjing liar, haiwan itu kini dirawat di sebuah klinik veterinar di Johor.

Anjing itu dikatakan patah tulang di kedua-dua kaki depan dan belakang, selain melecur tahap pertama hingga dua di badan.

“Ia perlu sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan untuk pulih,” menurut catatan myforeverdoggo di Instagram, lapor FMT.

Satu laporan polis kemudiannya difailkan.

Menurut myforeverdoggo, datuk dan nenek pemuda itu memohon maaf susulan kemarahan orang ramai terhadap kejadian berkenaan.

Ibu lelaki terbabit pula dikatakan meminta laporan polis itu ditarik balik.

“Dia (ibu) mendakwa mencederakan anjing adalah perkara remeh dan anjing itu akan menggigit orang jika dibiarkan di luar,” menurut catatan itu.

Doktor haiwan tidak dikenali itu bagaimanapun berkata, anjing terbabit mesra dengan pelanggannya dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda agresif atau mengejar manusia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *