Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, surat arahan Kabinet agar beliau dihalang daripada menghadiri majlis-majlis Kerajaan Persekutuan telah dilihat oleh salah seorang pegawainya.
Dakwanya, surat itu ditunjukkan pegawai sebuah agensi kerajaan Persekutuan kepada individu tersebut ketika kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat di Langkawi kelmarin.
“Agensi berkenaan ada mesyuarat di Langkawi kelmarin.
“Pegawai agensi tersebut tunjuk kertas arahan Kabinet kepada pegawai Pejabat Menteri Besar yang turut hadir mesyuarat berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Wan Romani Wan Salin ketika dihubungi berkata, pimpinan Kerajaan Persekutuan termasuk dalam kalangan menteri dilihat tidak bersikap profesional setiap kali hadir membuat lawatan kerja rasmi ke Kedah.
Menurutnya, setiap kali Perdana Menteri mahu pun anggota Kabinet turun ke Kedah, tiada jemputan kepada Menteri Besar mahu pun Exco terlibat untuk turut sama terlibat dalam majlis berkenaan.
“Sebagai contoh, lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam dan hari ini melibatkan beberapa program terkait dengan portfolio saya sebagai Exco di Kedah, tetapi saya tak dijemput hadir ke program berkenaan untuk turut serta dalam majlis sedangkan kita ada ruang untuk menjalin kerjasama.
“Dalam Facebook Fahmi, memanglah diletakkan gambar kononnya dia menjemput orang itu dan ini termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti yang sama parti dengannya. Tetapi mengapa saya sebagai Exco berkaitan serta ADUN Kuala Nerang dan Pedu tidak dipanggil atau dimaklumkan langsung?” katanya.
Tambahnya, tindakan sedemikian seolah-olah menafikan hak kerajaan negeri.
“Perkara sebegini tak pernah berlaku dalam pemerintahan Perdana Menteri lain sebelum ini. Kami di Kedah ini berkhidmat untuk menyelesaikan isu semua rakyat Kedah termasuk penyokong-penyokong parti mereka.
“Jadi tak bolehlah mereka bertindak demikian. Apa yang dilakukan terhadap Menteri Besar serta kepimpinan kerajaan negeri kini adalah tidak profesional,” katanya.
Leave a Reply