Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pengawal keselamatan antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kudus di kilometer (KM) 5.7 Jalan Parit Semerah- Parit Kudus, Pontian hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, kemalangan pada pukul 5.10 petang itu melibatkan kereta Proton Saga dinaiki anggota Rela dan pengawal keselamatan itu bersama dua lagi rakannya dengan Proton Perdana dinaiki seorang lelaki.
“Kemalangan berlaku semasa Proton Saga dari arah Parit Semerah menghala ke Parit Kudus dan Proton Perdana dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati pemandu Proton Saga sampai di tempat kejadian telah gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan Proton Perdana yang berada dilaluannya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Proton Saga itu kemudian terjunam ke dalam parit yang berair dan semua mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut.
Akibat kemalangan itu, anggota Rela berkenaan, Jamaludin Abd. Wahab, 58, dan pengawal keselamatan tersebut yang memandu Proton Saga, Muhamad Shah Rizal Jamaludin, 22, yang kedua-duanya beralamat di Chenderiang, Perak meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, turut terkorban seorang lagi penumpang Proton Saga, Muhamad Nor Azlan Roz, 28, yang beralamat di Kajang, Selangor.
“Semua ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia itu cedera parah di bahagian kepala,” katanya.
Menurut Mohamad Shofee, seorang lagi penumpang Proton Saga, Mohd. Faizal Saari, 35, beralamat di Batu Caves, Selangor juga cedera di kepala manakala pemandu Proton Perdana, Donny Tauh, 20, beralamt di Nabawan, Sabah cedera di kaki dan tangan.
Tambahnya, ketiga-tiga mayat dihantar ke forensik Hospital Pontian untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujar beliau.
Leave a Reply